Resepi Dendeng Daging Yang Sedap Tetapi Mudah Untuk Disediakan.
Dendeng Daging adalah salah satu hidangan yang semakin popular, terutamanya menjelang bulan puasa dan majlis keramaian. Malah juadah ini menjadi jualan terlaris pada tahun ini kerana ramai pempengaruh juga menjualnya di aplikasi atas talian.
Pelbagai resepi dengan cara dan bahan yang berbeza telah dikongsikan kepada orang ramai agar dapat memberikan rasa yang sesuai dengn selera masing – masing namun masih mudah disediakan .
Bahan- bahan yang digunakan untuk memasak resepi ini adalah sangat mudah didapati namun resepi ini jarang dimasak dirumah.
Dengan resepi ini, anda bukan sahaja dapat menikmati hidangan yang lazat tetapi juga dapat menyimpannya sebagai stok untuk masa akan datang. Mari kita lihat cara penyediaan Dendeng Daging yang menakjubkan ini
Bahan-Bahan
- 1 kg daging
- Air (secukupnya untuk menenggelamkan daging)
- 1/2 cawan kicap pekat manis (untuk perap)
- 3 batang serai
- 1-2 biji bawang besar
- 12 biji bawang merah kecil
- 4 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 12-15 tangkai cili kering
- 2 cawan minyak masak
- 1/2-1 cawan kicap pekat manis (untuk kuah)
- 1/2 keping gula melaka
- Garam secukup rasa
- 1 sb serbuk perasa
- 1 senduk bawang goreng segar
Cara Penyediaan
- Sediakan periuk atau kuali dan masukkan air secukupnya lalu dididhkannya.
- Rebus daging hingga lembut (anggaran 45 minit ke1 jam namun jika menggunakan pressure cooker, hanya perlukan 30 minit sahaja untuk melembutkan daging).
- Rebus cili kering sehingga lembut, toskan, dan buang biji.
- Hiris nipis bawang merah kecil untuk dijadikan bawang goreng.
- Potong kasar serai, bawang besar, bawang merah kecil, bawang putih, dan halia.
- Panaskan minyak dan goreng semua bahan yang sudah dipotong kasar hingga layu sepenuhya.
- Kemudian , goreng cili kering hingga layu.
- Kisar kasar semua bahan yang telah digoreng dengan sedikit air rebusan daging.
- Hiris nipis daging yang sudah rebus tadi lalu tumbuk dengan lesung .
- Gaul daging dengan kicap manis dan perapkan seketika.
- Panaskan minyak dalam kuali lain dan goreng bawang merah kecil hingga garing, kemudian angkat lalu asingkan dahulu.
- Goreng daging sehingga agak garing dan kemudian ketepikan.
- Gunakan minyak yang sama , tumis semua bahan kisar hingga naik bau dan pecah minyak.
- Setelah pecah minyak , masukkan 2 cawan air rebusan daging, dan setelah mendidih, masukkan semua daging goreng, gula melaka, garam, serbuk perasa dan kicap pekat manis.
- Masak hingga kuah pekat mengikut selera masing- masing.
- Akhir sekali , sebelum dihidangkan , taburkan sedikit bawang goreng di atasnya dan siap untuk dijamu bersama keluarga tercinta.
Nota
- Boleh gunakan semua jenis daging namun perlu direbus terlebih dahulu agar tidak terlalu liat untuk dimakan .
- Rasa dahulu masakan sebelum menambahkan bahan perasa dan garam kerana kicap yang digunakan sudah mempunyai rasanya tersendiri.
- Daging juga boleh dipotong tebal mengikut selera masing – masing.
- Untuk mendapatkan rasa yang lebih enak , disarankan perapkan daging dengan kicap lebih lama.
- Resepi ini juga sesuai untuk dimasak dengan ayam dan juga itik.
- Jika tidak sukakan masakan yang terlalu berminyak boleh “skip” goreng bahan yang dihiris.Boleh kisar sahaja dan terus tumiskan bahan.
- Selain daripada sedap dimakan bersama nasi panas, resepi ini juga sesuai dimakan bersama mee gireng dan juga roti canai.
Sekarang anda sudah memiliki resepi Dendeng Daging yang bukan sahaja sedap tetapi juga praktikal. Sesuai untuk dimakan bersama nasi panas, hidangan ini pasti akan menggembirakan hati keluarga anda. Selamat mencuba!